SELANGOR FC
BERITA

Pelancaran Rasmi Jersi Ketiga SFC 2024/25

Jul 06, 2024 - FAS

Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) telah rasmi melancarkan jersi ketiga atau 3rd Kit 2024/25 secara digital di semua platform rasmi media sosial Selangor FC, malam tadi.

Jersi ini bertemakan “Wear Joma” bersempena menyambut ulang tahun kerjasama yang kelima bersama jenama pakaian antarabangsa, Joma, sebagai penaja pakaian rasmi Selangor FC sejak tahun 2019, yang juga merupakan penaja pertama kelab di bawah naungan DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj selaku Presiden kelab.

Biru menjadi pilihan sebagai warna utama, jersi 3rd kit 2024/25 ini menandakan kesatuan, kepercayaan dan kesetiaan di antara kelab Gergasi Merah dan jenama Joma. Selangor FC amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh Joma dari musim ke musim. Selain itu, jersi juga dikenakan dengan sentuhan warna ‘Rose Gold’ yang digunakan pada logo Selangor FC, Joma dan penaja-penaja yang melambangkan gaya keanggunan dan elegan setiap jersi SFC bersama Joma apabila dikenakan oleh setiap pemakai.

Seperti jersi Home dan Away musim 2024/25, jersi 3rd Kit juga dikeluarkan dengan koleksi Joma Elite, Replika (yang dulu dikenali sebagai ‘Player Issue’) dan ‘Fans Issue’. Bagi koleksi Joma Elite rekaan kali ini adalah berbentuk burung Helang yang diinspirasikan daripada simbol lama syarikat Joma yang membawa maksud bahaya, kekuatan, kelajuan serta keunggulan yang dimiliki apabila memakai barangan jenama tersebut, selaras dengan sasaran mereka dalam mengeluarkan barangan sukan kepada pengguna.

Selain itu, antara kelainan pada jersi ini adalah logo ‘5 Years Together’ yang seakan bentuk logo kelab beserta logo Joma yang berbentuk ‘J’ di dalamnya terletak di belakang kolar yang menandakan simbolik kepada kerjasama rapat Selangor FC dan Joma sejak tahun 2019. Sepanjang kerjasama ini, Joma telah menghasilkan 18 jenis jersi untuk kelab Gergasi Merah termasuklah jersi Home, Away, 3rd kit untuk setiap musim serta dua jersi edisi khas pada tahun 2021 dan 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon menjelaskan jersi ini direka khas bagi menghargai Joma atas kerjasama tahun kelima bersama kelab Gergasi Merah, “Joma telah bersama Selangor FC sejak dari 2019 sehingga kini. Kami amat bersyukur dengan kerjasama yang mereka berikan panjang bersama kelab Merah Kuning. Joma sentiasa berusaha untuk mencapai kemahuan kami di Selangor FC dalam menghasilkan jersi-jersi berkualiti yang kami sering kaitan dengan keselesaan para penyokong dan juga pemain. Kalau kita lihat, dari musim ke musim mereka memperbaharui kualiti barangan yang dikeluarkan seperti tahun ini dengan koleksi Elite yang menggunakan kain tenunan serta teknologi yang moden. Oleh itu, kami telah memilih jersi 3rd kit musim ini khas buat Joma sebagai tanda menghargai kolaborasi dan kerja keras mereka.”

Pihak pengurusan Selangor FC berharap Joma dapat terus berikan kerjasama yang terbaik bersama kelab Merah Kuning untuk keluaran-keluaran akan datang. 

Dapatkan jersi rasmi 3rd Kit Selangor FC x Joma musim 2024/25 dengan harga RM249.00 (Elite) dan RM149.00 (Replika), tidak termasuk 10% diskaun dengan penggunaan ‘team card’ di Popup Store SFC yang berada di Stadium MBPJ hari ini bermula jam 10 pagi sehingga tamat perlawanan atau dapatkan di laman rasmi selangorfc.com. 

Demi Kebanggaan!